Friday, July 17, 2020

KARANGAN BENTUK CERAMAH - LANGKAH MENGATASI PENYAKIT BERJANGKIT

Soalan:
Anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah di sebuah kampung tentang langkah mengatasi masalah penyakit berjangkit. Sediakan teks ceramah anda.

(SILA UBAH AYAT. JANGAN TIRU BULAT-BULAT. KARANGAN INI HANYA CONTOH DAN RUJUKAN SAHAJA)

Jawapan dan contoh:


LANGKAH MENGAWAL PENYAKIT BERJANGKIT

Isi karangan

1. menjaga kebersihan diri dan persekitaran tempat tinggal pada sepanjang masa.
2. Mendapatkan rawatan doktor apabila bergejala/ sakit.
2. mengetatkan syarat kemasukan pelancong dari luar negara
3. melupuskan haiwan yang telah dijangkiti penyakit
4. mengadakan Program Kawalan Pegerakan (PKP)
5. Mendapatkan rawatan awal daripada doktor di hospital (isi tambahan)

Karangan contoh:-

          Yang Dihormati ........., yang Berusaha......., tuan-tuan dan puan-puan. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dapat bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis pada pagi ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada ........kerana sudi menjemput saya untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Cara-cara untuk mengawal penularan penyakit berjangkit”.

Hadirin yang dihormati sekalian,
      Penularan penyakit berjangkit merupakan satu isu yang sering menjadi buah mulut masyarakat sejak akhir-akhir ini. Penularan penyakit berjangkit ini umpama duri dalam daging dan telah menyebabkan masyarakat dunia amnya dan masyarakat Malaysia khususnya berada dalam kebimbangan yang berterusan. Antara penyakit berbahaya yang pernah melanda negara kita dan negara-negara luar ialah wabak Coronavirus atau Covid-19,  wabak selsema burung dan penyakit Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS).  Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk mengawal penularan penyakit berjangkit terutama yang dapat menyebabkan kematian. Namun demikian, penularan penyakit masih lagi berlaku dari semasa ke semasa. Oleh itu, pelbagai cara perlu dilakukan oleh masyarakat untuk memastikan gejala penularan penyakit dapat dibendung.

     Satu daripada cara untuk mengawal penularan penyakit berjangkit adalah dengan memastikan penjagaan kesihatan diri dengan teratur dalam kalangan masyarakat Malaysia. Penjagaan kesihatan merupakan satu amalan yang berterusan. Sebagai contohnya, setiap anggota masyarakat hendaklah menjaga kebersihan diri sepanjang masa. Kebersihan diri ialah asas yang akan mengelakkan tubuh dihinggapi penyakit. Kita mestilah sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau cecair sanitasi dan mandi dengan bersih setelah keluar dari rumah. Pada masa yang sama, kebersihan persekitaran tempat tinggal perlu diutamakan. Sampah sarap dan kawasan air bertakung yang menggalakkan penyebaran serangga pembawa penyakit mestilah dihapuskan.  Masyarakat Malaysia hari ini terdedah pada pelbagai risiko penyakit berjangkit dan tindakan yang teratur merupakan satu cara yang berkesan untuk mengawal penularan penyakit berjangkit, bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati.   Oleh hal yang demikian penjagaan kesihatan adalah amat penting untuk mencegah penularan penyakit berbahaya ini. 

Hadirin sekalian,
             Langkah kedua yang boleh kita lakukan untuk mengawal penyakit ini daripada merebak adalah dengan mendapatkan rawatan doktor di hospital apabila kita menghidapi gejala sesuatu penyakit. Tindakan awal kita berjumpa doktor untuk menjalani saringan atau rawatan dapat menyelamatkan kita daripada menjadi mangsa penyakit berjangkit ini. Sebagai contoh, mereka yang bergejala seperti batuk, selsema dan sesak nafas perlu mendapatkan rawatan awal dan saringan daripada doktor bagi memastikan sama ada kita dijangkiti penyakit Coronavirus atau sebaliknya. mereka yang berisiko kerana menghidap penyakit berbahaya seperti sakit jantung, darah tinggi dan sebagainya juga perlu bertindak awal agar tidak menjadi mangsa penyakit berjangkit ini terutamanya penyakit yang masih belum ditemui vaksin penyembuhnya. Justeru bagi menghalang penularan penyakit berjangkit, tindakan awal kita mendapatkan rawatan doktor mampu menyelamatkan nyawa kita. Janganlah hingga nasi sudah menjadi bubur baru kita hendak bertindak.

         Selain itu, pihak berkuasa juga telah mengetatkan syarat kemasukan pelancong dari luar negara. Pihak Jabatan Imigresen Malaysia dan juga Jabatan Kastam telah menguatkuasakan kawalan yang ketat terhadap orang ramai yang masuk ke negara ini. Jabatan kastam umpamanya, telah memastikan haiwan-haiwan yang dibawa masuk ke negara ini bebas daripada jangkitan penyakit berbahaya. Tidak kira sama ada haiwan tersebut diimport untuk dijadikan makanan atau haiwan peliharaan, jika haiwan tersebut dijangkiti, pihak jabatan kastam akan menyita dan memastikan haiwan tersebut tidak dibawa masuk ke negara kita. Dalam hal ini tumpuan khusus telah diberi kepada pelancong dan haiwan dari negara-negara yang diketahui telah dijangkiti penyakit berjangkit berkenaan. Misalnya suatu ketika dahulu negara China telah diserang penyakit selesema burung yang serius. Oleh itu pelancong dan barangan import yang berasaskan haiwan telah diperiksa dengan lebih terperinci.. Sebagai contoh yang lain, para pelancong yang memasuki negara kita atau rakyat yang baru pulang dari luar negara akan diperiksa dan dikuarantin selama 14 hari jika menunjukkan gejala jangkitan Covid-19.  Jadi, tindakan pihak berkuasa mengetatkan syarat kemasukan pelancong dan barangan dari luar negara dapat mengelakkan penularan penyakit berjangkit.

Tuan-tuan dan puan-puan,
          Langkah seterusnya untuk mengawal penularan penyakit berjangkit  ialah pihak kerajaan telah melupuskan haiwan yang dijangkiti penyakit berjangkit dengan kadar segera. Tindakan tegas ini akan dilaksanakan tanpa mengira bantahan dan kritikan masyarakat. Kerajaan telah menjalankan tindakan ini kerana penyakit berjangkit biasanya merebak dengan pantas apabila pembawanya tidak dihapuskan,. Misalnya dalam kes penularan penyakit selesema burung, setiap unggas sama ada yang dipelihara atau yang hidup liar telah dilupuskan. Walaupun tindakan ini agak kejam sifatnya, kita tidak boleh pilih bulu atau berkompromi apabila kesihatan masyarakat awam terancam seperti kata peribahasa biar titik jangan tumpah. Kerugian akibat kematian haiwan peliharaan adalah lebih baik berbanding kehilangan nyawa manusia akibat diserang penyakit berjangkit. Tindakan tersebut juga dilaksanakan dengan kadar segera. Pihak berwajib tidak harus menanti keputusan majoriti kerana penularan penyakit tidak akan berhenti jika tidak dibendung. Tindakan yang lambat akan mendatangkan kesan buruk apabila penyakit berkenaan tidak lagi dapat dikawal dengan menyeluruh. Oleh itu, pelupusan haiwan pembawa penyakit hendaklah disegerakan untuk memastikan penularannya dapat dikawal.

Hadirin yang dihormati sekalian,
            Langkah terakhir yang dapat dilaksanakan dengan berkesan adalah dengan mengadakan Program Kawalan Pegerakan (PKP) di kawasan yang dijangkiti penyakit tersebut. Semasa negara dilanda penyakit Coronavirus misalnya, orang ramai dilarang keluar dari rumah tanpa tujuan yang tidak penting. Mereka juga dikehendaki mengawal jarak sosial melebihi lingkungan satu meter apabila berada di tempat terbuka atau ketika berbelanja dan menjalankan urusan penting di luar rumah. Tindakan ini adalah bertujuan untuk mengawal penularan penyakit berbahaya seperti Covid-19 yang merupakan "pembunuh" paling ditakuti dan masih tidak ditemukan vaksin untuk mengatasinya. Orang ramai juga dilarang berada di luar rumah atau melakukan perjalanan ke luar daerah serta ke luar daripada kawasan tempat tinggal masing-masing. Mereka juga dilarang mengadakan aktiviti berkumpulan termasuklah solat berjemaah sehingga penyakit berjangkit ini dapat diatasi. Sekatan jalan raya yang dilaksanakan oleh pihak polis dan tentera dapat membantu melaksanakan program ini dengan lebih berkesan terutamanya di kawasan tumpuan utama penyakit tersebut merebak. Oleh itu, bagi mengatasi penyakit berjangkit seperti Covid-19, orang ramai perlu mematuhi arahan kerajaan dan pihak berkuasa agar jaringan penyakit ini dapat diputuskan.

Hadirin yang dihormati,
       Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang wajar dilaksanakan untuk memastikan penyakit berjangkit dapat dibendung penularannya. Dalam hal ini, semua anggota masyarakat perlulah bekerjasama ibarat aur dengan tebing agar penyakit berjangkit dapat ditangani dengan berkesan. Kita tidak mahu menyesal kemudian hari akibat kelalaian kita sehingga mendatangkan kesan buruk kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Kerjasama semua pihak sudah pasti akan dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada ancaman penyakit berjangkit yang berbahaya. Sebelum saya mengundur diri, saya ingin mengambil kesempatan menyusun jari sepuluh, memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang tidak disengajakan sepanjang masa menyampaikan ceramah pada pagi ini.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment