Soalan:
Anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah di sebuah kampung tentang langkah mengatasi masalah penyakit berjangkit. Sediakan teks ceramah anda.
(SILA UBAH AYAT. JANGAN TIRU BULAT-BULAT. KARANGAN INI HANYA CONTOH DAN RUJUKAN SAHAJA)
Jawapan dan contoh:
Anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah di sebuah kampung tentang langkah mengatasi masalah penyakit berjangkit. Sediakan teks ceramah anda.
(SILA UBAH AYAT. JANGAN TIRU BULAT-BULAT. KARANGAN INI HANYA CONTOH DAN RUJUKAN SAHAJA)
Jawapan dan contoh:
LANGKAH
MENGAWAL PENYAKIT BERJANGKIT
Isi karangan
1. menjaga kebersihan diri dan persekitaran tempat
tinggal pada sepanjang masa.
2. Mendapatkan rawatan doktor apabila bergejala/
sakit.
2. mengetatkan syarat kemasukan pelancong dari luar
negara
3. melupuskan haiwan yang telah dijangkiti penyakit
4. mengadakan Program Kawalan Pegerakan (PKP)
5. Mendapatkan rawatan awal daripada doktor di
hospital (isi tambahan)
Karangan contoh:-
Yang Dihormati ........., yang Berusaha......., tuan-tuan dan puan-puan.
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana
dapat bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis pada pagi ini. Saya
mengucapkan terima kasih kepada ........kerana sudi menjemput saya untuk
menyampaikan ceramah yang bertajuk “Cara-cara untuk mengawal penularan penyakit
berjangkit”.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Penularan penyakit berjangkit merupakan satu isu yang sering menjadi
buah mulut masyarakat sejak akhir-akhir ini. Penularan penyakit berjangkit ini
umpama duri dalam daging dan telah menyebabkan masyarakat dunia amnya dan
masyarakat Malaysia khususnya berada dalam kebimbangan yang berterusan. Antara
penyakit berbahaya yang pernah melanda negara kita dan negara-negara luar ialah
wabak Coronavirus atau Covid-19, wabak
selsema burung dan penyakit Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS). Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh
pelbagai pihak untuk mengawal penularan penyakit berjangkit terutama yang dapat
menyebabkan kematian. Namun demikian, penularan penyakit masih lagi berlaku
dari semasa ke semasa. Oleh itu, pelbagai cara perlu dilakukan oleh masyarakat
untuk memastikan gejala penularan penyakit dapat dibendung.
Satu
daripada cara untuk mengawal penularan penyakit berjangkit adalah dengan
memastikan penjagaan kesihatan diri dengan teratur dalam kalangan masyarakat
Malaysia. Penjagaan kesihatan merupakan satu amalan yang berterusan. Sebagai
contohnya, setiap anggota masyarakat hendaklah menjaga kebersihan diri
sepanjang masa. Kebersihan diri ialah asas yang akan mengelakkan tubuh
dihinggapi penyakit. Kita mestilah sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau
cecair sanitasi dan mandi dengan bersih setelah keluar dari rumah. Pada masa
yang sama, kebersihan persekitaran tempat tinggal perlu diutamakan. Sampah
sarap dan kawasan air bertakung yang menggalakkan penyebaran serangga pembawa
penyakit mestilah dihapuskan. Masyarakat
Malaysia hari ini terdedah pada pelbagai risiko penyakit berjangkit dan
tindakan yang teratur merupakan satu cara yang berkesan untuk mengawal
penularan penyakit berjangkit, bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada
mengubati. Oleh hal yang demikian
penjagaan kesihatan adalah amat penting untuk mencegah penularan penyakit berbahaya
ini.
Hadirin sekalian,
Langkah kedua yang boleh kita lakukan untuk
mengawal penyakit ini daripada merebak adalah dengan mendapatkan rawatan doktor
di hospital apabila kita menghidapi gejala sesuatu penyakit. Tindakan awal kita
berjumpa doktor untuk menjalani saringan atau rawatan dapat menyelamatkan kita
daripada menjadi mangsa penyakit berjangkit ini. Sebagai contoh, mereka yang
bergejala seperti batuk, selsema dan sesak nafas perlu mendapatkan rawatan awal
dan saringan daripada doktor bagi memastikan sama ada kita dijangkiti penyakit
Coronavirus atau sebaliknya. mereka yang berisiko kerana menghidap penyakit
berbahaya seperti sakit jantung, darah tinggi dan sebagainya juga perlu
bertindak awal agar tidak menjadi mangsa penyakit berjangkit ini terutamanya
penyakit yang masih belum ditemui vaksin penyembuhnya. Justeru bagi menghalang
penularan penyakit berjangkit, tindakan awal kita mendapatkan rawatan doktor
mampu menyelamatkan nyawa kita. Janganlah hingga nasi sudah menjadi bubur baru
kita hendak bertindak.
Selain itu, pihak berkuasa juga telah mengetatkan syarat kemasukan
pelancong dari luar negara. Pihak Jabatan Imigresen Malaysia dan juga Jabatan
Kastam telah menguatkuasakan kawalan yang ketat terhadap orang ramai yang masuk
ke negara ini. Jabatan kastam umpamanya, telah memastikan haiwan-haiwan yang
dibawa masuk ke negara ini bebas daripada jangkitan penyakit berbahaya. Tidak
kira sama ada haiwan tersebut diimport untuk dijadikan makanan atau haiwan
peliharaan, jika haiwan tersebut dijangkiti, pihak jabatan kastam akan menyita
dan memastikan haiwan tersebut tidak dibawa masuk ke negara kita. Dalam hal ini
tumpuan khusus telah diberi kepada pelancong dan haiwan dari negara-negara yang
diketahui telah dijangkiti penyakit berjangkit berkenaan. Misalnya suatu ketika
dahulu negara China telah diserang penyakit selesema burung yang serius. Oleh
itu pelancong dan barangan import yang berasaskan haiwan telah diperiksa dengan
lebih terperinci.. Sebagai contoh yang lain, para pelancong yang memasuki
negara kita atau rakyat yang baru pulang dari luar negara akan diperiksa dan
dikuarantin selama 14 hari jika menunjukkan gejala jangkitan Covid-19. Jadi, tindakan pihak berkuasa mengetatkan
syarat kemasukan pelancong dan barangan dari luar negara dapat mengelakkan
penularan penyakit berjangkit.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Langkah seterusnya untuk mengawal penularan penyakit berjangkit ialah pihak kerajaan telah melupuskan haiwan
yang dijangkiti penyakit berjangkit dengan kadar segera. Tindakan tegas ini
akan dilaksanakan tanpa mengira bantahan dan kritikan masyarakat. Kerajaan
telah menjalankan tindakan ini kerana penyakit berjangkit biasanya merebak
dengan pantas apabila pembawanya tidak dihapuskan,. Misalnya dalam kes
penularan penyakit selesema burung, setiap unggas sama ada yang dipelihara atau
yang hidup liar telah dilupuskan. Walaupun tindakan ini agak kejam sifatnya,
kita tidak boleh pilih bulu atau berkompromi apabila kesihatan masyarakat awam
terancam seperti kata peribahasa biar titik jangan tumpah. Kerugian akibat
kematian haiwan peliharaan adalah lebih baik berbanding kehilangan nyawa
manusia akibat diserang penyakit berjangkit. Tindakan tersebut juga
dilaksanakan dengan kadar segera. Pihak berwajib tidak harus menanti keputusan
majoriti kerana penularan penyakit tidak akan berhenti jika tidak dibendung.
Tindakan yang lambat akan mendatangkan kesan buruk apabila penyakit berkenaan
tidak lagi dapat dikawal dengan menyeluruh. Oleh itu, pelupusan haiwan pembawa
penyakit hendaklah disegerakan untuk memastikan penularannya dapat dikawal.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Langkah terakhir yang dapat dilaksanakan dengan berkesan adalah dengan
mengadakan Program Kawalan Pegerakan (PKP) di kawasan yang dijangkiti penyakit
tersebut. Semasa negara dilanda penyakit Coronavirus misalnya, orang ramai
dilarang keluar dari rumah tanpa tujuan yang tidak penting. Mereka juga
dikehendaki mengawal jarak sosial melebihi lingkungan satu meter apabila berada
di tempat terbuka atau ketika berbelanja dan menjalankan urusan penting di luar
rumah. Tindakan ini adalah bertujuan untuk mengawal penularan penyakit
berbahaya seperti Covid-19 yang merupakan "pembunuh" paling ditakuti
dan masih tidak ditemukan vaksin untuk mengatasinya. Orang ramai juga dilarang
berada di luar rumah atau melakukan perjalanan ke luar daerah serta ke luar
daripada kawasan tempat tinggal masing-masing. Mereka juga dilarang mengadakan
aktiviti berkumpulan termasuklah solat berjemaah sehingga penyakit berjangkit
ini dapat diatasi. Sekatan jalan raya yang dilaksanakan oleh pihak polis dan
tentera dapat membantu melaksanakan program ini dengan lebih berkesan
terutamanya di kawasan tumpuan utama penyakit tersebut merebak. Oleh itu, bagi
mengatasi penyakit berjangkit seperti Covid-19, orang ramai perlu mematuhi arahan
kerajaan dan pihak berkuasa agar jaringan penyakit ini dapat diputuskan.
Hadirin yang dihormati,
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang wajar dilaksanakan untuk
memastikan penyakit berjangkit dapat dibendung penularannya. Dalam hal ini, semua
anggota masyarakat perlulah bekerjasama ibarat aur dengan tebing agar penyakit
berjangkit dapat ditangani dengan berkesan. Kita tidak mahu menyesal kemudian
hari akibat kelalaian kita sehingga mendatangkan kesan buruk kerana sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Kerjasama semua pihak sudah
pasti akan dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada ancaman
penyakit berjangkit yang berbahaya. Sebelum saya mengundur diri, saya ingin
mengambil kesempatan menyusun jari sepuluh, memohon ampun dan maaf sekiranya
terdapat sebarang kesilapan yang tidak disengajakan sepanjang masa menyampaikan
ceramah pada pagi ini.
Sekian, terima kasih.