Thursday, May 21, 2020

PELAJARAN 19 - RUMUSAN (MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU)


BAHASA MELAYU PELAJARAN 19
TAJUK          : RUMUSAN
SUB TAJUK : LANGKAH MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU
TINGKATAN : 4 AL-GHAZALI/ 4 AL-FARABI
TARIKH        : 21 MEI 2020
MASA           : 2.00 – 4.00 PETANG



ARAHAN:
Baca petikan Baca  petikan  di  bawah  dengan  telitinya,  kemudian  buat  satu  rumusan  berkenaan langkah-langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu dan kekangan penggunaannya di Malaysia. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


            Sejak beberapa dekad yang lalu, Malaysia telah melalui beberapa fasa pembangunan. Bermula daripada Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Negara, Dasar Wawasan Negara, dan mutakhir Model Ekonomi Baru. Namun hakikat yang
menyedihkan, perkembangan dan penggunaan bahasa Melayu seolah-olah dipinggirkan daripada pakej pembangunan tersebut. Walaupun  pembangunan  negara  berjaya  membawa  perubahan  dari  aspek  sosiopolitik, sosioaekonomi, dan tuntutan masyarakat, namun bahasa Melayu masih tidak berubah walaupun suatu ketika dahulu pernah menjadi bahasa sarwajagat terhebat di Nusantara. 
Tuntutan  ekonomi kapitalisme  telah  menghanyutkan  perjuangan nasiolisme  sehingga Universiti  Kebangsaan  Malaysia  yang  suatu  ketika  dahulu  menjadi  pemangkin  dalam memartabatkan bahasa Melayu kini sama seperti universiti lain di Malaysia. Era digital dan globalisasi tanpa sempadan menyaksikan bahasa Melayu terpaksa bersaing hebat dengan bahasa lain  terutamanya  bahasa  Inggeris.  Aplikasi  dan  dasar  liberalisasi  sejak  1980-an  melihat penggunaan bahasa Inggeris semakin meluas dan bahasa Melayu pula seolah-olah perlu bersedia untuk diturunkan ke liang lahat. 
Melihat kepada senario yang berlaku pada hari ini,usaha bersepadu perlu dilakukan untuk mengembalikan semula semangat nasiolisme dan jati diri negara bangsa. Langkah pertama adalah  dengan  meletakkan  keagungan  bahasa dan  sastera  Melayu  pada tempat  selayaknya. Dewan  Bahasa  dan  Pustaka  (DBP)  yang  mempunyai  kematangan,  sumber,  kepakaran,  dan kemampuan perlu melaksanakan hasrat ini tanpa membataskan sasaran terhad kepada sekolah kerajaan  semata-mata.  Sekolah-sekolah  persendirian,sekolah Cina  dan sekolah  Tamil  yang mempunyai silibus bahasa kebangsaan yang berbeza dengan sekolah kerajaan sepatutnya diberi perhatian yang lebih dalam memantapkan penggunaan bahasa Melayu. 
Dalam usaha negara mencapai status negara maju, adunan bahasa Kebangsaan dan jati diri bangsa perlu diacu serentak memandangkan usah memartabatkan bahasa Melayu harus melalui  satu  anjakan  paradigma.  DBP  sebagai  badan  induk  yang  bertanggungjawab  perlu melipatgandakan promosi di segenap lapisan masyarakat, malah penglibatan semua kaum dalam usaha membudayakan bahasa Melayu perlu giat dijalankan bagi menyemai semangat dan rasa cinta terhadap bahasa Melayu kepada semua kaum 
Penubuhan  Bahagian  Pengembangan  Bahasa  Pelbagai  Kaum  yang  dilakukan  DBP merupakan satu langkah awal yang sungguh baik kerana usaha mengembangkan bahasa Melayu, khususnya kepada masyarakat bukan Melayu perlu diperhebatkan. Antara isu pertama yang perlu diselesaikan ialah menangani 20% daripada kanak-kanak yang ketinggalan dari segi literasi.

SKEMA PEMARKAHAN:

Pengenalan:
Rumusan membincangkan _____________________ dan ________________ di ________________

Isi Tersurat:
1.    ________________________________________________________________
2.    ________________________________________________________________
3.    ________________________________________________________________
4.    ________________________________________________________________
5.    ________________________________________________________________
6.    ________________________________________________________________
7.     
Isi Tersirat:
1.    ________________________________________________________________
2.    ________________________________________________________________

Ulasan:
Kesimpulannya, _______________________ harus ___________________________
agar ________________________________



SELAMAT BELAJAR
#stayathome

Saturday, May 16, 2020

PELAJARAN 18 - NOVEL LEFTENAN ADNAN (TEMA DAN PERSOALAN)


BAHASA MELAYU PELAJARAN 18
TAJUK                     : TEMA DAN PERSOALAN NOVEL LEFTENAN ADNAN
TINGKATAN            : 4AL-GHAZALI / 4 AL-FARABI
TARIKH                   : 18 MEI 2020
HARI                        : ISNIN
MASA                      : 8.00 – 10.00 PAGI

ARAHAN:
1. Sila tonton video yang disediakan di bawah.

VIDEO 1 : TEMA NOVEL LEFTENAN ADNAN 

VIDEO 2: PERSOALAN NOVEL LEFTENAN ADNAN


2. Baca nota yang diberi kemudian jawab soalan yang disediakan di bawah.


TAJUK : TEMA NOVEL LEFTENAN ADNAN

Tema novel Leftenan Adnan ialah semangat kepahlawanan dan keberanian  askar Melayu dalam mempertahankan tanah air daripada dijajah oleh orang asing.

Contohnya:
i. dibuktikan  Leftenan Adnan, atau nama sebenarnya Adnan bin Saidi sanggup berjuang bermati-matian hingga titisan darah terakhir demi mempertahankan bumi tercinta daripada ditakluki oleh tentera Jepun.
ii. ketika tentera Jepun melancarkan serangan di Jurong, askar Melayu yang masih bersemangat. Mereka tiada pilihan lain kerana Tanah Melayu merupakan tanah air mereka.
iii. askar-askar yang bertugas mengawal kubu Pasir Panjang sentiasa berjaga-jaga walaupun sudah beberapa hari tidak makan dan minum. Tentera Jepun mahu Leftenan Adnan menyerah tetapi Leftenan Adnan berkeras ingin mempertahankan kubu Pasir Panjang. Oleh itu, tentera Jepun telah membedil kubu itu melalui udara. Askar Melayu dan Leftenan Adnan telah memberikan tentangan hebat kepada tentera Jepun sehingga mereka gagal menembusi benteng pertahanan askar Melayu. Kekalahan ini menyebabkan Jeneral Yamashita semakin marah dan malu.


CONTOH SOALAN
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan tema novel tersebut.
[8 markah]

JAWAPAN
                Berdasarkan novel yang saya pelajari iaitu novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib, tema novel ini ialah semangat kepahlawanan dan keberanian  askar Melayu dalam mempertahankan tanah air daripada dijajah oleh orang asing.

                Tema ini dapat dibuktikan  Leftenan Adnan, atau nama sebenarnya Adnan bin Saidi sanggup berjuang bermati-matian hingga titisan darah terakhir demi mempertahankan bumi tercinta daripada ditakluki oleh tentera Jepun.

                Selain itu, ketika tentera Jepun melancarkan serangan di Jurong, pertahanan British semakin tidak kuat kerana banyak tenteranya keletihan dan ketakutan. Hal ini berbeza dengan askar Melayu yang masih , bersemangat. Mereka tiada pilihan lain kerana Tanah Melayu merupakan tanah air mereka.

               Di samping itu, askar-askar yang bertugas mengawal kubu Pasir Panjang sentiasa berjaga-jaga walaupun sudah beberapa hari tidak makan dan minum. Pada waktu pagi, tentera Jepun telah datang ke kawasan pertahanan mereka. Tentera Jepun mahu Leftenan Adnan menyerah tetapi Leftenan Adnan berkeras ingin mempertahankan kubu Pasir Panjang. Oleh itu, tentera Jepun telah membedil kubu itu melalui udara. Askar Melayu dan Leftenan Adnan telah memberikan tentangan hebat kepada tentera Jepun sehingga mereka gagal menembusi benteng pertahanan askar Melayu. Kekalahan ini menyebabkan Jeneral Yamashita semakin marah dan malu.


B. PERSOALAN NOVEL LEFTENAN ADNAN:
a. Persoalan tentang semangat kepahlawanan yang tinggi dalam diri anak muda.
Contohnya, Leftenan Adnan dan adik-adiknya memiliki semangat kepahlawanan sejak kecil lagi. Buktinya, mereka gemar bersilat dan bermain perang olok-olok. Aktiviti tersebut telah melahirkan semangat juang, keberanian, dan sikap tidak mudah mengalah pada diri mereka.
b. Persoalan tentang kepentingan ilmu agama dalam kehidupan.
Contohnya, Pak Saidi dan Mak Milah sangat menitikberatkan penguasaan ilmu agama dalam kehidupan keluarga mereka. Buktinya, mereka mengajar anak-anak mereka mengaji al-Quran dan solat yang sempurna.
c. Persoalan tentang kepentingan ilmu pengetahuan dalarn kehidupan.
Contohnya, Pak Saidi menghantar anak-anaknya belajar di sekolah Inggeris supaya mereka dapat mempelajari ilmu hisab, sejarah, dan bahasa Inggeris supaya memperoleh ilmu dan mendapat pekerjaan yang baik serta membentuk anak bangsa yang berguna.
d. Persoalan tentang kasih sayang sesama ahli keluarga.
Contohnya,  Adnan dan ahli keluarganya sayang-menyayangi. Buktinya, Mak Milah dan Pak Saidi amat bimbang akan keselamatan semua anak mereka yang menceburi bidang ketenteraan ketika Jepun menyerang Tanah Melayu. Adnan dan Sophia juga pasangan suami isteri yang sayang-menyayangi.
e. Persoalan tentang amalan tolong-menolong dan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat yang berlainan kaum dan agama.
Contohnya,  oleh sebab pendapatan Pak Saidi tidak rnenentu. Ah Chong membenarkan Pak Saidi membeli basikal di kedainya secara ansuran.
f. Persoalan tentang keberanian anak muda menghadapi cabaran bagi mencapai cita-cita.
Contohnya,  Adnan dan Mamat sanggup melalui perjalanan yang jauh bagi menghadiri temu duga menyertai pasukan tentera di Port Dickson.
g. Persoalan sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan tanah air tercinta.
Contohnya,  Anggota Rejimen Askar Melayu sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan tanah air daripada jatuh ke tangan kuasa asing.
h. Persoalan amanah dalam menggalas tanggungjawab.
Contohnya, Apabila menerima tanggungjawab dan tugasan dariapda pihak atasan, Leftenan Adnan bersungguh-sungguh melaksanakan amanah tersebut. Buktinya, beliau menerima tugasan menjaga dua pangkalan tentera pada masa yang sama meskipun tugas itu berat.
 i. Persoalan tentang tugas menjaga keselamatan negara yang merupakan tanggungjawab bersama.
Contohnya,  Penghulu Deraman dan penduduk kampung sedia membantu Leftenan Adnan menentang tentera Jepun.


CONTOH SOALAN:
Berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji, bincangkan persoalan yang terdapat dalam novel tersebut.

JAWAPAN:
Berdasarkan novel yang saya pelajari iaitu novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib, terdapat banyak persoalan yang terdapat dalam novel ini.

Antara persoalan yang terdapat di dalam novel ini ialah persoalan tentang kepentingan ilmu agama dalam kehidupan manusia. Contohnya, Pak Saidi dan Mak Milah sangat menitikberatkan penguasaan ilmu agama dalam kehidupan keluarga dan anak-anak  mereka. Buktinya, mereka mengajar anak-anak mereka mengaji al-Quran dan solat dengan sempurna.

Selain itu, persoalan lain yang terdapat di dalam novel ini ialah tentang kasih sayang sesama ahli keluarga.Contohnya,  Adnan dan ahli keluarganya saling menyayangi. Buktinya, Mak Milah dan Pak Saidi amat bimbang akan keselamatan semua anak mereka yang menceburi bidang ketenteraan ketika Jepun menyerang Tanah Melayu kerana mereka sangat menyayangi mereka. Leftenan Adnan juga menghantar isterinya Sophiadan anaknya pulang ke kempung Sungai Ramal kerana bimbang keselamatan mereka sekiranya Jepun menyerang Singapura.

___________________________________________________________________

LATIHAN 1:
Sejauh manakah semangat kepahlawanan dan keberanian  askar Melayu dalam mempertahankan tanah air daripada dijajah oleh orang asing menjadi tema dalam novel yang telah anda kaji. Beri tiga bukti bagi menerangkan alasan ini.   [8 markah]


LATIHAN 2:
Selain persoalan kasih-sayang sesama ahli keluarga, sesebuah novel juga mempunyai banyak lagi persoalan yang dapat diambil daripada cerita ini. Bincangkan tiga persoalan lain yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari itu. [8 markah]



SELAMAT BELAJAR
#stayathome



Friday, May 8, 2020

PELAJARAN 17 - TATABAHASA (KATA BILANGAN)


BAHASA MELAYU TINGKATAN 4
KELAS           : 4 AL-GHAZALI / 4 AL-FARABI
TARIKH         : 14 MEI 2020
HARI              : KHAMIS
MASA             : 2.00 – 4.00 PETANG


ARAHAN:
Baca dan fahami nota yang diberi dengan teliti.

TAJUK : KATA BILANGAN

1. MAKSUD :
Kata bilangan ialah perkataan yang digunakan untuk menunjukkan jumlah.

2. JENIS KATA BILANGAN :
a. Kata bilangan tentu : Menunjukkan jumlah yang tepat.
Contoh : satu, dua, seratus, sejuta, tiga puluh tiga dan sebagainya.

b.
Kata bilangan tak tentu : Menunjukkan bilangan yang tidak pasti jumlahnya.
Contoh : semua, banyak, ramai, pelbagai, berbagai-bagai, sekumpulan, sekawan dan lain-lain.
c. Kata bilangan pisahan : Kata bilangan yang menunjukkan sifat dipisahkan
Contoh : berdua-dua, ketiga-tiga, masing-masing, tiap-tiap
d. Kata bilangan tingkat : Menunjukkan maksud tempat
Contoh : pertama, kedua, ketiga, keempat dan sebagainya.
e. Kata bilangan pecahan : Jumlah yang dinyatakan dalam pecahan.
Contoh : suku, separuh, tiga suku, dua per tiga dan sebagainya.

3. KONSEP KATA BILANGAN :
a. Kata bilangan jamak : Menunjukkan maksud jumlah lebih daripada satu.
Contoh : semua, beberapa, kebanyakan, pelbagai, berhari-hari dan sebagainya.
b. Kata bilangan tunggal : Menunjukkan maksud bilangan tunggal atau satu.
Contoh : satu, se

4. KESALAHAN PENGGUNAAN KATA BILANGAN :

a. Ada kata bilangan yang tidak boleh digandakan. (salah jika digandakan)
Salah:
-pelbagai-pelbagai hadiah diberi.
-para-para pelajar yang hadir.
Betul:
-pelbagai hadiah diberi.
-berbagai-bagai hadiah diberi.
-para pelajar yang hadir

b. Ada kata bilangan yang tidak boleh disingkatkan/ ditunggalkan.
Salah:
-Dia ke sekolah pada tiap pagi.
-Berbagai 
cabaran telah ditempuh.
Betul:
-Dia ke sekolah pada tiap-tiap pagi.
-Dia ke sekolah pada setiap pagi.
-Berbagai-bagai cabaran telah ditempuh.
-Pelbagai cabaran telah ditempuh.

c. Kata bilangan berimbuhan ‘ber….’ Mesti digandakan.
Salah:
-Lori itu membawa berguni beras ke kilang.
-Sudah bertahun lamanya kami merantau.
-Dia minum bercawan air sejuk.
Betul:
-Lori itu membawa berguni-guni beras
ke kilang.
-Sudah bertahun-tahun lamanya kami merantau.
-Dia minum bercawan-cawan air sejuk.

d. Jika kata bilangan sudah jamak, kata nama yang mengikutinya tidak boleh digandakan. Salah:
-
Banyak buku-buku yang disediakan di perpustakaan.
-
Sekawan burung-burung hinggap di atas pokok.
-Beberapa ekor ikan-ikan berjaya dipancing.
Betul:
-
Banyak buku yang disediakan di perpustakaan.
-
Sekawan burung hinggap di atas pokok.
-
Beberapa ekor ikan berjaya dipancing.

e. Jika kata bilangan berakhiran dengan ‘…….an’, kata nama juga tidak boleh digandakan. Salah:
-
Barisan pelakon-pelakon akan mengambil bahagian dalam pertunjukan itu.
-
Sinaran bintang-bintang kelihatan di dada langit.
-
Puluhan peserta-peserta mengambil bahagian pada malam ini.
Betul:
-
Barisan pelakon akan mengambil bahagian dalam pertunjukan itu.
-
Sinaran bintang kelihatan di dada langit.
-
Puluhan peserta mengambil bahagian pada malam ini.

f. ‘Kata bilangan jamak’, tidak boleh disertai dengan ‘penjodoh bilangan’. (kecuali : 'beberapa' dan kata bilangan tentu seperti 'tiga, empat, lima' dan sebagainya)
Salah:
-
Semua ekor ikan yang dibelinya itu sudah busuk.
-
Kebanyakan orang pengakap yang hadir turut memberi sumbangan.
Betul:
-
Semua ikan yang dibelinya itu sudah busuk.
-
Kebanyakan pengakap yang hadir turut memberi sumbangan.
Betul: - Beberapa ekor ikan, enam buah rumah dan sebagainya.

g. Jika kata bilangan jamak digunakan, kata adjektif bagi kata nama tidak boleh digandakan. Salah:
-
Banyak ikan yang besar-besar di kawasan hulu sungai itu.
-
Semua pegawai di situ garang-garang dan sukar untuk ditemui.
Betul:
-
Banyak ikan yang besar di kawasan hulu sungai itu.
-
Semua pegawai di situ garang dan sukar untuk ditemui.

h. Kata bilangan jamak boleh digunakan untuk kata nama yang memang berganda. Salah:
-Di kawasan sungai itu 
banyak kura.
-
Ramai mata bertugas di tempat ini.
Betul:
-Di kawasan sungai itu 
banyak kura-kura.
-Ramai mata-mata bertugas di tempat ini.

i. Kata bilangan berimbuhan ‘ke….’ yang menunjukkan jumlah mestilah digandakan. Salah:
-Polis berjaya membarkas kelima perompak itu.
-Kedua beradik kembar tersebut berpisah ketika berusia dua tahun.
Betul:
-Polis berjaya membarkas 
kelima-lima perompak itu.
-
Kedua-dua beradik kembar tersebut berpisah ketika berusia dua tahun.

j. ‘Kata bilangan tentu’ (satu, dua, dan sebagainya) tidak boleh rapat dengan ‘kata bilangan pecahan’ ('suku, separuh, setengah). (letak objek antara kata bilangan ini) Salah:
-Kami mengambil masa 
dua setengah hari untuk sampai di sini.
-Anda hanya diberi tempoh 
tiga suku jam untuk menyiapkan tugas ini.
-Masukkan 
satu suku sudu garam ke dalam masakan itu.
Betul:
-Kami mengambil masa 
dua hari setengah untuk sampai di sini.
-Anda hanya diberi tempoh 
tiga jam suku untuk menyiapkan tugas ini.
-Masukkan 
satu sudu suku garam ke dalam masakan itu.


SELAMAT BELAJAR
#stayathome

PELAJARAN 16 - KARANGAN BERPANDU (REMAJA BERWAWASAN)


KARANGAN BERPANDU
TINGKATAN : 4 AL-GHAZALI / 4 AL-FARABI
TARIKH         : 11 MEI 2020
HARI              : ISNIN
MASA             : 8.00 – 10.00 PAGI


TAJUK: CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN UNTUK MEMBANGUNKAN NEGARA




Soalan:


Berdasarkan gambar rajah di atas, buat satu karangan tentang ciri-ciri remaja berwawasan untuk membangunkan negara kita. Panjang karangan hendaklah lebih kurang 250 patah perkataan.


Skema Pemarkahan:

1. Pengenalan:
- remaja – golongan berumur antara 15 hingga 20 tahun – masih belajar.
- merupakan generasi pemimpin negara masa depan.
- perlu bersikap positif untuk membangunkan negara.
- mesti memiliki ciri yang berwawasan tinggi.

2. Isi 1(rujuk rajah)
- mesti memiliki personaliti mulia.
- bersopan-santun, menghormati orang lebih tua.
- menjadikan mereka dihormati dan dipendang tinggi oleh masyarakat.
- perlu mengamalkan nilai-nilai mulia setiap masa.

3. Isi 2
- mereka mestilah berani mencuba sesuatu yang baru.
- tidak takut menghadapi cabaran atau takut berdepan dengan kegagalan.
- mesti memiliki sikap inovatif dan kreatif untuk mencipta sesuatu yang baru.
- akan dihormati dan dipandang mulia oleh masyarakat negara lain.

4. isi 3
- mesti bertanggungjawab.
- bersikap jujur dan bertanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
- orang bertanggungjawab akan dipandang mulia dan selalu dikenang.
- mesti mempunyai nilai tanggungjawab apabila diberi tugas atau peranan.

5. Isi 4
- memiliki semangat patriotik
- contoh – sayang akan negara dan sanggup berkorban untuk negara.
- sanggup berjuang untuk memastikan negara aman dan damai.
- bersedia menentang musuh dan anasir yang meruntuhkan negara.

6. isi 5
- memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi
- tidak boleh leka – mesti belajar ke peringkat paling tinggi.
- orang berilmu dapat membantu membina rakyat yang maju dan berjaya.
- tidak boleh membuang masa sia-sia.

7. penutup
- remaja berwawasan penting untuk memajukan negara.
- mereka perlulah memiliki sifat mulia, berani, bertanggungjawab, patriotik dan memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi.
- milai dan wawasan ini perlu diamalkan sejak masih kecil.


SELAMAT BELAJAR
#stayathome





Wednesday, May 6, 2020

PELAJARAN 15 - KEFAHAMAN KOMSAS (MUNSYI)



BAHASA MELAYU TINGKATAN 4
TAJUK : KEFAHAMAN KOMSAS
SUB-TAJUK : CERPEN MUNSYI
TINGKATAN : 4 AL-FARABI/ 4 AL-GHAZALI
TARIKH : 7 MEI 2020
MASA: 2.00 – 4.00 PETANG

ARAHAN:
1. Baca petikan cerpen yang diberi.
2. Tulis jawapan dalam test pad
3. Hantar jawapan kepada guru.
4. Simpan jawapan dalam Fail bahasa Melayu masing-masing.

Petikan Cerpen Munsyi

Soalan A:
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Saya teringat cerita bonda tentang kota mewah itu yang pernah mencalit sejarah hitam dekad lampau. Sejarah yang meninggalkan parut luka sentimen yang bukan sedikit. Sejarah suram yang berparut duka angkara gelodak emosi dan kesumat yang mengalir dalam dada setiap warganya sejak sekian lama. Dek benih penjajah yang menanamkan racun perkauman melalui sistem pecah dan perintah, bernanahlah segala prasangka buruk sebelum meletusnya tragedi sengketa dan rusuhan antara warga kota yang mewakili bangsa-bangsa yang berbeza fahaman, bahasa dan budaya.
Akibatnya, darah dan korban menjadi saksi kepada sebuah api pergolakan sehingga mencetuskan huru-hara kepada negara yang baru setahun jagung menghirup udara kemerdekaan. Seperti kata bonda kepada saya setiap kali menjengah kalendar Mei pada wajah hari.
Dipetik daripada cerpen ‘Munsyi’ Oleh Husna Nazri   Dalam Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Dewan Bahasa dan Pustaka.

(i)            Apakah kesan sistem pecah dan perintah yang dilaksanakan oleh penjajah di negara kita? [2 markah]

(ii)          Peristiwa 13 Mei betul-betul meninggalkan kesan mendalam kepada perpaduan rakyat Malaysia. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan sejarah hitam tersebut berulang kembali ?  [3 markah]

(iii)          Jelaskan satu persoalan yang terdapat dalam petikan di atas dan satu persoalan lain daripada cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.  [4 markah]


SOALAN B.
Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Setiap kali saya meluahkan hasrat untuk bermastautin di ibu kota bonda memberikan pelbagai alasan agar saya terus menetap di kampung halaman tercinta ini. Kata bonda ilmu agama saya masih terlalu cetek dan nipis. Bimbang, saya akan hanyut dibawa arus hedonisme dan modenisme yang sedang melanda anak-anak muda kota. Malahan, kata bonda lagi, bahasa ibunda saya juga masih lemah. Bahasa yang membesarkan saya dengan segala adat resam dan nilai budaya warisan turun-temurun. Bahasa yang diwarisi nenek moyang sejak zaman berzaman.
Bonda tahu, secubit ilmu yang mengisi dada saya yang kerdil ini tidak akan mampu mengekang ledakan perubahan sosial yang boleh meragut jati diri saya sebagai generasi bermaruah. Saya akui kebenaran kata-kata bonda tentang malapetaka yang sedang menghinggapi sekian ramai anak-anak sebangsa saya. Kebanyakannya tergadai maruah dan harga diri dek mengejar dunia yang bergelar globalisasi dalam menuju arus perdana.
"Mel, agama dan bangsa itu cermin maruah kita yang ditinggalkan nenek moyang! Jasad yang dibaluti agama serta lidah yang dilebati bahasa ibunda merupakan warisan kita yang masih ada. Andai kedua-dua sudah hilang di atas muka bumi ini, kita bukan lagi generasi bermaruah, tetapi bangsa yang dilaknati Allah."


i. Bersandarkan petikan cerpen di atas, nyatakan punca-punca bonda menghalang Mel untuk bermastautin di bandar. [2 marka]

ii. Pada pandangan anda, bagaimanakah cara-cara untuk meningkatkan semangat jati diri remaja sekarang? [3 markah]

iii. Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan dan satu pengajaran lain  daripada keseluruhan cerpen ini yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]


SELAMAT BELAJAR
#stayathome


S