Wednesday, April 1, 2020

PELAJARAN 2 - KEFAHAMAN UMUM

BAHASA MELAYU TINGKATAN 4
TARIKH                     : 31 MAC 2020
HARI                          : SELASA
TINGKATAN                        : 4 AL-GHAZALI & 4 AL-FARABI
MASA PDPC             : 1 JAM 30 MINIT
TAJUK                      : KEFAHAMAN UMUM (PETIKAN RUMUSAN PELAJARAN 1)

PERKARA YANG PERLU ANDA BUAT:
1.    Tonton video teknik menjawab soalan kefahaman yan diberi di bawah.
2.    Baca petikan yang diberi.
3.    Fahami isi petikan dan rangkai kata sukar.
4.    Jawab soalan kefahaman yang diberi:
i.              Pastikan isi mencukupi berdasarkan markah yang diberi.
ii.            Gunakan bahasa yang gramatis.
iii.           Gunakan penanda wacana jika isi yang diberi banyak.

TINDAKAN SETERUSNYA:
1.    Tulis jawapan kefahaman lengkap dalam kertas jawapan/ test pad.
2.    Masukkan dalam Fail Bahasa Melayu.
3.    Ambil foto/ gambar jawapan dan serahkan kepada cikgu melalui WHATAPP    
4.    Serahkan fail kepada guru apabila sekolah dibuka semula nanti.

SILA TONTON VIDEO DI BAWAH….




Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan yang diberi dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Industri pelancongan telah memberikan sumbangan yang ketara kepada ekonomi negara sejak pengenalan Program Transformasi Negara pada tahun 2010. Sektor pelancongan negara menjadi penyumbang keenam terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada tahun 2014. Pada tahun tersebut, industri pelancongan kita masih mampu menarik seramai 27.44 juta pelancong dengan pendapatan berjumlah RM72 bilion.

Sejak pengenalan Program Transformasi Negara tersebut, industri pelancongan telah dapat memainkan peranan dalam membuka peluang baharu bagi memperkenalkan Malaysia ke peringkat antarabangsa. Oleh itu, sewajarnya kita mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia atas kempen promosi yang agresif di luar negara. Hasil daripada kempen promosi tersebut, negara tidak lagi dikenali sebagai 'negara antara Singapura dan Thailand. Malahan, industri ini telah berjaya menampilkan keunikan, keharmonian dan kepelbagaian budaya di negara kita. Selain itu, Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2015 pada 27 September dengan tema '1 Bilion Pelancong, 1 Bilion Peluang' telah berupaya memberikan semangat kepada hala tuju Malaysia ke arah pencapaian Wawasan 2020. Sektor pelancongan secara langsung memanfaatkan rakyat Malaysia pada tahun lepas dengan industri itu mampu menarik pelaburan sebanyak RM19.4 bilion dan mampu mewujudkan sejumlah 1.77 juta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Dalam merealisasikan potensi yang dimiliki Malaysia daripada keindahan pulau-pulau di Borneo sehingga ke hutan tropika dan syurga beli belah, kerajaan akan menjadikan industri pelancongan sebagai sumber pendapatan baharu dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa. Pengumuman langkah-langkah proaktif ekonomi baru-baru ini telah menyaksikan peruntukan tambahan RM80 juta untuk memperhebat aktiviti promosi pelancongan dalam pasaran terpilih termasuk di negara-negara ASEAN, China dan India. Langkah ini melibatkan program yang dapat membangunkan produk ikonik termasuklah memberi nafas baharu kepada Muzium Negara, Tugu Negara dan Taman Tasik Perdana yang seterusnya, menjadikan tempat tersebut sebagai satu destinasi yang lebih menarik dan mudah dikunjungi oleh pelawat.

Visi Program Transformasi Nasional adalah untuk mewujudkan sebuah sistem yang mapan bagi membangunkan negara demi kepentingan rakyat Malaysia. Program tersebut telah membolehkan aspirasi kerajaan untuk tahun 2020 dicapai menerusi kaedah rasionalistik dan terdapat keperluan untuk mempelbagaikan ekonomi negara. Oleh itu, industri pelancongan memainkan peranan penting bagi memperkukuh kepelbagaian ekonomi Malaysia yang telah memanfaatkan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.


Jawab soalan diberi di bawah:

1. Apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata merealisasikan potensi dalam petikan di atas?   (2 markah)

2. Bincangkan sumbangan Program Transformasi Negara ke atas industri pelancongan di negara kita?         (3 markah)

3. Pada pendapat anda, mengapakah negara kita berupaya untuk menjadi kawasan tumpuan pelancong dari seluruh dunia?    (4 markah)


SELAMAT BELAJAR!!!

No comments:

Post a Comment